Jumaat, 21 Disember 2018 | 10:50am
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Wang simpanan licin ditipu

KUANTAN: Ugutan penjara kerana dikatakan terbabit kes pengubahan wang haram dan aktiviti penyeludupan dadah mengakibatkan seorang peniaga terpaksa menyerahkan semua wang simpanannya berjumlah RM18,450 kepada sindiket Macau Scam, di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata kejadian berlaku apabila mangsa, seorang wanita berusia 52 tahun menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mendakwa wakil daripada Telekom Malaysia.

“Lelaki itu mendakwa ada dua nombor telefon didaftarkan di rumah mangsa dan wanita itu memaklumkan kemungkinan ada pihak menyalahgunakan butiran peribadinya.

“Panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada seorang lagi lelaki mendakwa dirinya sebagai pegawai polis yang memberitahu mangsa juga terbabit dengan kes pengubahan wang haram dan dadah,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian diminta untuk memasukkan semua wang yang ada dalam simpanannya untuk menyelesaikan kes berkenaan jika tidak mahu ditangkap oleh polis.

“Wanita itu memasukkan wang berjumlah RM18,450 ke dalam satu akaun diberikan dan selepas memasukkan wang itu, mangsa tersedar dirinya ditipu selepas gagal berhubung semula dengan lelaki berkenaan sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Mohd Wazir berkata, seorang peniaga di Bandar Jengka, Maran berusia 40 tahun terpaksa menanggung kerugian RM15,929 selepas ditipu sindiket yang menawarkan pinjaman tidak wujud menggunakan aplikasi WhatsApp.

Katanya, kejadian berlaku 14 Disember lalu apabila mangsa wanita menerima mesej WhatsApp yang mempromosikan pinjaman wang daripada Syarikat Maju Kredit sebelum mangsa menghantar salinan beberapa dokumen peribadi ke nombor yang sama.

“Suspek mendakwa mangsa layak untuk mendapat pinjaman sebanyak RM50,000, namun perlu membayar untuk beberapa tujuan seperti cukai perkhidmatan dan membuka akaun bank.

“Mangsa membuat beberapa kali pindahan wang ke dalam dua akaun bank yang berbeza menjadikan jumlah keseluruhan RM15,929. Bagaimanapun, sehingga kini mangsa masih belum menerima wang pinjaman berkenaan sebelum membuat laporan di IPD Maran, kelmarin,” katanya.

Katanya, kedua-dua kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Berita Harian X