Jumaat, 21 Disember 2018 | 9:39am
Portal Majlis Perbandaran Kuantan di http://www.mpk.gov.my/en

RM14 juta tunggakan kompaun trafik MPK

KUANTAN: Sejumlah RM14 juta kompaun kesalahan trafik dikeluarkan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) masih belum dibayar.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam MPK, Izad Zainal Muhammad Safian, berkata ia membabitkan notis sebanyak 1.4 juta yang dikeluarkan pihaknya terhadap pengguna yang melakukan kesalahan trafik sejak 2010 sehingga kini.

Katanya, sehubungan itu pihaknya melalui Unit Penguatkuasaan akan turun padang memburu pengguna yang memiliki notis bagi membolehkan mereka menjelaskannya dengan segera.

“MPK akan mengapit roda, menghantar notis ke alamat surat-menyurat dalam dan luar Pahang, merujuk kes ke mahkamah selain menjalankan ‘Ops Waran Tangkap’ bersama polis dengan berkunjung ke rumah pesalah.

“Kami meminta mereka yang mempunyai notis saman yang membawanya ke Unit Undang-Undang dan Pendakwaan MPK untuk penyelarasan pembayaran.

“Pada masa depan, mereka yang gagal menyelesaikan kompaun trafik MPK mungkin menghadapi risiko disenarai hitam oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya kepada NSTP di sini, hari ini.

Izad Zainal berkata, pihaknya menyediakan beberapa alternatif kepada mereka yang mempunyai saman tunggakan tinggi antaranya menstrukturkan semula pembayaran.

“Mereka boleh membayarnya secara berperingkat. Selain itu, memberikan diskaun istimewa dan promosi untuk kupon tempat letak kereta bulanan dan tahunan.

“Pemandu boleh menyemak sama ada mereka mempunyai notis kompaun trafik di pejabat kami dan juga di kios kami di kompleks

beli-belah selain di laman web, http://ekompaun.mpk.gov.my/,” katanya.

Katanya, ramai memilih mengabaikan peringatan dikeluarkannya kerana beranggapan MPK tidak akan mengambil tindakan.

“Kami sebenarnya memburu mereka termasuk menjejak di rumah atau tempat kerja.

“MPK bersedia membantu dan menyediakan penyelesaian bagi mereka yang mempunyai tunggakan saman trafik,” katanya.

306 dibaca
Berita Harian X