Khamis, 20 Disember 2018 | 5:30pm
ZAINI Jass (dua dari kiri) ketika mengadakan lawatan rasmi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang. - NSTP/Malai Rosmah Tuah

Kes culik nelayan: Polis Sabah ambil langkah berhati-hati

PENAMPANG: Pasukan keselamatan mengambil langkah berhati-hati dalam memantau pergerakan kumpulan yang menculik tiga nelayan di perairan Pegasus Reef, Kinabatangan, 6 Disember lalu, bagi memastikan keselamatan mangsa.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass, berkata pihaknya sudah mengenal pasti kumpulan terbabit dan pasukan keselamatan sedang menjalankan risikan.

“Jika silap pendekatan yang menjadi mangsa adalah tebusan.

“Jadi kita kena berhati-hati kerana keselamatan tebusan keutamaan kita,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan rasmi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim.

Mengulas lanjut, Zaini berkata, kumpulan yang melakukan culik itu sudah dikenal pasti dan siasatan terperinci sedang dilakukan.

“Mereka (kumpulan penculik) sangat sensitif... jadi kita tidak boleh dedahkan maklumat lanjut,” katanya.

Pada 6 Disember lalu, Heri Ardiansyah, 19; Jari Abdullah, 34, dan Hariadin, 45, dilaporkan hilang selepas bot nelayan dinaiki mereka ditemui di perairan berkenaan.

Sehari sebelum itu, berlaku serangan oleh empat lelaki bersenjata api ke atas bot tunda membawa 12 kru terdiri daripada dua warga Malaysia dan 11 warga Indonesia di perairan Pegasus Reef, Kinabatangan.

Tekong, Didy Saviady, 40, cedera di paha akibat terkena tembakan dilepaskan kumpulan terbabit manakala semua kru selamat.

138 dibaca
Berita Harian X