Khamis, 20 Disember 2018 | 3:28pm
ABU Bakar (tengah) pada sidang media mengenai Perhimpunan Aman ‘Keadilan Untukmu Adib dan Desakan Pecat P Waytha Moorthy’ anjuran Gerakan Rakyat Malaysia (GERAS) ketika ditemui di Shah Alam. - NSTP/Faiz Anuar

GERAS anjur himpunan aman keadilan Adib

SHAH ALAM: Gerakan Rakyat Malaysia (GERAS) akan mengadakan perhimpunan aman bagi menuntut keadilan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim pada 25 Disember ini.

Perhimpunan yang dijadual berlangsung di Dataran Seni Klang itu turut bertujuan mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy melepaskan jawatan kerana didakwa bersikap biadap dan menghina Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Wakil penganjur, Abu Bakar Mohamed, berkata beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersetuju berhimpun pada tarikh itu dan pihaknya mensasarkan ribuan orang ramai hadir menyatakan sokongan.

“Sehingga kini, keadilan dan pembelaan terhadap Muhammad Adib belum dirungkai dan tiada tindakan lanjut seolah-olah ada ‘tangan ghaib’ melindungi pesalah yang membuat huru hara ketika rusuhan berkenaan.

“Selain itu, ada pihak berbohong mengatakan kecederaan Allahyarham akibat dilanggar kenderaan bomba. Ia satu tindakan kotor dan jijik,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Abu Bakar berkata, pihaknya turut menghantar permohonan permit bagi mendapatkan kebenaran mengadakan perhimpunan itu kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurul Huda Mohd Salleh, berkata pihaknya mengesahkan menerima permohonan daripada kumpulan berkenaan.

“Keputusan mengenai status kebenaran perhimpunan itu bagaimanapun bergantung kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan tempoh yang diperlukan bagi kelulusan mengambil masa selama 10 hari.

“Namun, kita sudah bersiap sedia dengan menempatkan anggota dan pegawai polis bagi memastikan keadaan terkawal,” katanya.

Isnin lalu, Muhammad Adib, 24, yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, disahkan meninggal dunia di Institusi Jantung Negara (IJN).

Muhammad Adib disahkan meninggal dunia pada jam 9.41 malam akibat kecederaan serius selepas diserang dan dipukul dalam insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di Seafield, Subang Jaya pada 27 November lalu.

Berita Harian X