Rabu, 19 Disember 2018 | 10:30am
Antara barangan yang dirampas dari suspek termasuklah dadah, wang tunai dan peralatan dadah dari seorang lelaki disyaki pengedar dadah di tepi jalan Kampung Paya Kelubi, Jalan Jenun. - Foto ihsan PDRM

Tokan dadah dicekup ketika tunggu pelanggan

PENDANG: Seorang lelaki disyaki pengedar dadah yang sedang menunggu pelanggan ditahan di tepi jalan Kampung Paya Kelubi, Jalan Jenun di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah, berkata suspek berusia 41 tahun itu yang dalam keadaan mencurigakan ditahan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang jam 2 petang.

"Pemeriksaan ke atas suspek yang memiliki beg silang kelabu mengandungi empat peket plastik lutsinar dan tujuh keratan straw mengandungi serbuk dan ketulan dadah disyaki heroin anggaran berat 33.72 gram.

"Kita juga menemui satu paket plastik lutsinar berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu anggaran berat 0.90 gram, Mykad suspek, alat penimbang digital plastik pembungkus dadah.

"Selain itu, turut dirampas sebuah motosikal jenis Honda ditunggangi suspek serta wang tunai sebanyak RM805 untuk membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arriz Sham berkata, siasatan awal, lelaki berkenaan ketika itu sedang menunggu pelanggan untuk mengambil dadah di tempat kejadian sebelum anggota polis menahannya.

"Pemeriksaan rekod mendapati suspek yang masih bujang dan tidak bekerja itu mempunyai empat rekod jenayah berkaitan dadah.

"Suspek yang positif dadah jenis morfin kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2) ADB 1952, " katanya.

Berita Harian X