Selasa, 18 Disember 2018 | 3:03pm
KETUA Polis Daerah Tampin, Superintendan Ramli Kasa. - Foto ihsan PDRM

Pemanggil ancaman bom disambung reman

TAMPIN: Lelaki yang disyaki membuat panggilan ancaman bom di Hospital Tampin di sini, pada minggu lalu, disambung reman selama tiga hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Ramli Kasa, berkata reman bagi membantu siasatan kes itu disambung selepas tempoh reman kali pertama selama empat hari ke atas lelaki berusia 34 tahun itu tamat hari ini.

Menurutnya, polis menahan suspek yang mempunyai masalah mental di sebuah rumah di Taman Dato Lela Maharaja, Chembong, Rembau pada jam 10.45 malam hari kejadian sebelum perintah reman diperoleh keesokannya.

“Tempoh reman suspek bagaimanapun dilanjutkan bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lebih lanjut berhubung kes terbabit.

“Kita kemudian akan merujuk kes kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk mendapatkan keputusan sama ada suspek akan dituduh di mahkamah atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kejadian jam 5.20 pagi pada Jumaat lalu, seramai 120 pesakit dan 50 kakitangan Hospital Tampin cemas apabila hospital itu menerima panggilan bom palsu daripada lelaki tidak dikenali.

Sepasukan anggota dari IPD Tampin, Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Pengesan Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan yang ke lokasi melakukan pemeriksaan tidak menemui sebarang objek mencurigakan.

Hasil siasatan, polis berjaya mengesan suspek dan menahannya serta merampas sebuah telefon jenis Nokia yang digunakan untuk membuat panggilan palsu itu.

Suspek juga mengaku membuat panggilan ancaman bom di Hospital Pakar KPJ Seremban, pada 27 November lalu.

172 dibaca
Berita Harian X