Selasa, 18 Disember 2018 | 2:49pm
KEADAAN bas ekspre yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 195, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, Alor Gajah, pagi tadi. - Foto ihsan bomba

Dua parah, 12 cedera bas rempuh lori

ALOR GAJAH: Dua parah, manakala 12 lagi termasuk pemandu bas, cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dan dua lori di Kilometer 195, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, di sini, pagi tadi.

Dalam nahas jam 2.15 pagi, bas ekspres dalam perjalanan dari Hatyai, Thailand ke Singapura itu dipercayai merempuh lori dedak menyebabkan semua penumpang dan pemandu bas cedera.

Semua mangsa di dalam bas ekspres membabitkan sembilan warga Singapura, Thailand (dua) dan tiga rakyat tempatan itu berusia di antara 17 dan 61 tahun.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Melaka, Asisten Superintendan K Mahadevan, berkata siasatan awal mendapati lori dedak tanpa muatan berkenaan melanggar sebuah lagi lori yang masuk secara perlahan ke lorong ketiga di hadapannya.

“Bagaimanapun, kira-kira lima minit kemudian bas ekspres dipandu lelaki tempatan berusia 50-an dari arah sama tidak sempat mengelak lalu merempuh lori dedak terbabit.

“Akibat rempuhan kuat itu, seramai 11 mangsa, termasuk seorang wanita patah kaki dan dihantar ke Hospital Jasin, manakala tiga lagi ke Hospital Melaka dengan seorang daripadanya ditempatkan di zon merah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Penolong Kanan Penguasa Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Mohamad Hamdan Sudin ketika dihubungi berkata, sepasukan 11 anggota, termasuk komander operasi bersama sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan jam 2.37 pagi.

Berita Harian X