Selasa, 18 Disember 2018 | 10:51am

Kawalan polis di sekitar kuil Sri Maha Mariamman

SUBANG JAYA: Lebih 90 anggota polis termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) berkawal di sekitar kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, di sini, sejak awal pagi tadi, bagi mengawal keadaan.

Tinjauan wartawan mendapati laluan di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) berhampiran susur keluar Putra Heights-USJ ditutup kira-kira jam 6 pagi tadi sebagai langkah keselamatan.

Lalu lintas di kawasan terbabit kembali lancar sebaik laluan itu dibuka semula kepada pengguna jalan raya kira-kira jam 9 pagi tadi.

Keadaan di sekitar kuil berkenaan dilihat terkawal. Beberapa petugas media turut berkumpul di kawasan berkenaan bagi membuat liputan.

Difahamkan lebih 100 anggota polis termasuk FRU turut ditempatkan di bangunan pusat beli-belah One City yang terletak berhampiran kuil terbabit.

Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menempatkan petugasnya termasuk FRU bagi mengawal keselamatan di kuil berkenaan ekoran kejadian rusuhan pada 26 November dan 27 November lalu.

Pada awal pagi 26 November, 23 kenderaan musnah dibakar, manakala cermin pusat beli-belah One City turut dipecah dan dirosakkan.

Dalam kejadian 27 November pula, seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, parah akibat diserang perusuh.

Bagaimanapun selepas tiga minggu menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), Muhammad Adib disahkan meninggal dunia jam 9.41 malam tadi.

2620 dibaca
Pegawai dan anggota polis berkawal di sekitar Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
Berita Harian X