Isnin, 17 Disember 2018 | 10:11pm
KETUA Polis Daerah Kulim,Superintendan Ahmad Nasir Jaafar. - Foto AZAHAR HASHIM

Abang ipar bernafsu syaitan

KULIM: Nafsu syaitan seorang abang ipar yang sanggup merogol adik isterinya yang baharu berusia 12 tahun awal bulan lalu, akhirnya terbalas apabila dia ditahan polis dekat sini, petang tadi.

Suspek berusia 19 tahun itu ditahan di tepi jalan berdekatan sebuah kampung, di sini pada jam 5.30 petang.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar, berkata dalam kejadian pada jam 6 pagi, 5 November lalu, di rumah mangsa di sebuah taman perumahan, di sini, suspek mengajak adik iparnya menonton video lucah.

“Suspek kemudian secara tiba-tiba menarik tangan mangsa untuk masuk ke dalam bilik sebelum bertindak mencabul dan merogol mangsa.

“Selepas merogol, suspek juga mengugut untuk mencekik leher mangsa dan akan membawa mangsa lari sekiranya memberitahu kepada sesiapa tentang kejadian berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad Nasir berkata, mangsa kemudian memaklumkan kejadian berkenaan kepada ahli keluarganya sebelum membuat laporan polis.

“Suspek yang melarikan diri sejurus kejadian berjaya ditangkap petang tadi, selepas usaha mengesannya dilakukan polis.

“Suspek kini ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol bawah umur,” katanya.

3429 dibaca
Berita Harian X