Sabtu, 15 Disember 2018 | 4:14pm
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Ramli Kasa (kiri). Telefon bimbit yang dirampas susulan penahanan seorang penganggur berusia 34 tahun yang membuat panggilan bom palsu di Hospital Tampin. - Foto ihsan PDRM

Pemanggil ancaman bom di Hospital Tampin ditahan

TAMPIN: Tidak sampai 24 jam, seorang lelaki yang disyaki membuat panggilan ancaman bom di Hospital Tampin di sini, ditahan polis di Rembau malam tadi.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Ramli Kasa, berkata lelaki berusia 34 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Taman Dato Lela Maharaja, Chembong, pada jam 10.45 malam.

“Selain penahanan suspek, polis turut merampas sebuah telefon jenis Nokia yang digunakan untuk membuat panggilan palsu itu.

“Hasil soal siasat, suspek mengaku membuat panggilan ancaman bom di Hospital Tampin semalam dan Hospital Pakar KPJ Seremban pada 27 November lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ramli berkata, siasatan lanjut mendapati suspek adalah pesakit mental dan mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS).

Katanya, suspek juga mempunyai rekod lampau mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Beliau berkata, permohonan reman akan dibuat pagi ini di Mahkamah Majistret Tampin.

Portal berita semalam melaporkan, seramai 120 pesakit dan 50 kakitangan Hospital Tampin, cemas apabila mereka menerima panggilan bom palsu daripada lelaki yang tidak dikenali, jam 5.50 pagi.

Sepasukan anggota dari IPD Tampin, Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Pengesan Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan yang ke lokasi melakukan pemeriksaan tidak menemui sebarang objek mencurigakan.

Berita Harian X