Jumaat, 14 Disember 2018 | 3:29pm

Remaja disyaki belasah kekasih enggan serah kad sim

KULIM: Polis menahan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun disyaki membelasah kekasihnya hanya kerana gadis itu enggan menyerahkan kad sim milik mangsa di Taman Tunku Putra, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi, suspek didakwa menendang mangsa berumur 16 tahun pada bahagian badan, selain menampar mukanya berulang kali.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar, berkata terdahulu suspek ke rumah mangsa untuk mengambil telefon bimbit milik lelaki itu.

“Perselisihan faham dikatakan berlaku apabila mangsa enggan memberikan kad sim miliknya menyebabkan suspek bertindak memukul gadis itu.

“Suspek didakwa menendang badan, selain menampar muka gadis itu berulang kali sehingga mangsa sakit dan lebam pada bahagian tubuh serta mulut,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian tampil membuat laporan sebelum polis bertindak menjejaki suspek.

“Suspek ditahan di rumahnya di Sungai Ular, di sini, kira-kira jam 12.50 tengah hari. Siasatan awal mendapati suspek mengaku terbabit dalam kejadian itu,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mencederakan orang dan Seksyen 488 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.

928 dibaca
Berita Harian X