Rabu, 12 Disember 2018 | 10:28pm
DATUK Nor Badli Munawir Mohamad Alias Lafti - Foto ROSLIN MAT TAHIR

Bekas CEO TH Heavy Engineering diperintah bela diri tuduhan pecah amanah

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif TH Heavy Engineering Bhd (THHE) diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap lima tuduhan pecah amanah dan empat tuduhan pengubahan wang haram.

Hakim Madihah Harullah membuat keputusan itu terhadap Datuk Nor Badli Munawir Mohamad Alias Lafti, 51, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie ke atas tertuduh dan menetapkan 13 sehingga 15 Februari tahun depan untuk tertuduh membela diri.

Peguam Kitson Foong yang mewakili tertuduh memberitahu mahkamah bahawa lima saksi pembelaan akan dipanggil untuk memberi keterangan dan tertuduh akan memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi.

Pada 2 Mac lalu, tertuduh didakwa melakukan pecah amanah membabitkan lima keping cek masing-masing bernilai RM400,000, RM570,000, 430,000, RM600,000 dan RM575,800 yang keseluruhannya berjumlah RM2.58 juta di pejabat THHE Fabricators Sdn Bhd, Tingkat 23, Tower B, Menara UOA, Bangsar, di sini antara April dan Oktober 2013. THHE adalah syarikat bersekutu Lembaga Tabung Haji.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, tertuduh didakwa menerima wang tunai RM430,000 dan RM570,000 hasil aktiviti haram daripada pengarah syarikat Coral Intoil, Mohd Razip Mohammad, dan pengarah syarikat RL Offshore Sdn Bhd, Hanaffi Daud di pejabat THHE Fabricators Sdn Bhd dan Restoran Leaf Dining, No. 5-1, Jalan Solaris 1, Solaris Mont Kiara, antara jam 2 dan 4 petang, 27 Jun 2013 dan 1 Jun 2013.

Nor Badli Munawir juga dituduh menerima wang tunai berjumlah RM570,000 dan RM600,000 daripada Pengarah Syarikat Bicara Sepakat Sdn Bhd, Murhasmee Mukhtar di sebuah restoran di Ara Damansara, Petaling Jaya dekat sini, antara jam 6 petang dan 8 malam, pada 26 Jun 2013 dan 11 September 2013.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 boleh didenda maksimum RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, mahkamah melepaskan dan membebaskan tertuduh atas satu tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM400,000 tanpa memanggilnya membela diri selepas berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Tertuduh didakwa menerima wang tunai itu daripada Murhasmee di sebuah restoran di Petaling Jaya, antara 6 petang dan 8 malam, pada 2 Mei 2013.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S Thangavelu. – BERNAMA

Berita Harian X