Rabu, 12 Disember 2018 | 11:40am
SEBUAH treler membawa tong gas petroleum cecair (LPG) terbalik menyebabkan ratusan tong bertaburan atas jalan di Kilometer 6, Jalan Gemas-Tampin, berhampiran Pasir Besar, Tampin, malam tadi. - Foto ihsan pembaca

Tong gas bertaburan atas jalan

TAMPIN: Sebuah treler membawa tong gas petroleum cecair (LPG) terbalik menyebabkan ratusan tong bertaburan atas jalan di Kilometer 6, Jalan Gemas-Tampin, berhampiran Pasir Besar, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Ramli Kasa, berkata dalam kejadian 9 malam itu, treler dipandu lelaki berusia 37 tahun berkenaan dalam perjalanan dari Mentakab, Pahang menuju ke Johor Bahru.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu mengambil susur ke sebelah kiri untuk membelok namun kenderaan berat itu mengalami masalah brek menyebabkan dia gagal mengawalnya lalu terbalik.

“Susulan kejadian itu, ratusan tong gas yang dibawa jatuh bertaburan di atas jalan raya namun bernasib baik kerana tidak membabitkan kenderaan lain,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Ramli berkata, pihaknya yang menerima panggilan orang ramai mengerahkan anggota ke lokasi dan tiba 10 minit kemudian.

“Pemandu treler yang berasal dari Mentakab itu cedera di tangan, kepala dan badan serta dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah.

“Akibat kejadian, laluan itu tidak dapat digunakan seketika malam tadi dan kerja mengalihkan serta memindahkan tong gas terbabit selesai sepenuhnya jam 7.15 pagi,” katanya.

Kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Jalan Raya 166/59.

Berita Harian X