Selasa, 11 Disember 2018 | 10:19am
OMAR Mammah. - NSTP/Malai Rosmah Tuah

Tiga nelayan sah diculik - Polis Sabah

KOTA KINABALU: Polis mengesahkan tiga nelayan yang dilaporkan hilang berhampiran kejadian serangan sebuah bot tunda Magtrans II, di perairan Pegasus Reef, Kinabatangan, Rabu lalu, diculik dan berada di suatu tempat di Filipina.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, berkata pengesahan terkini daripada isteri salah seorang mangsa mengakui telah dihubungi oleh suaminya bahawa mereka diculik.

"Isteri salah seorang mangsa mengakui dihubungi oleh suaminya dan menyatakan mereka diculik.

"Mereka juga sudah dibawa ke satu tempat yang tidak diketahui di Filipina," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Pada 6 Disember lalu, tiga nelayan dikenali sebagai Heri Ardiansyah, 19, Jari Abdullah, dan Hariadin, 45, dilaporkan hilang selepas bot nelayan dinaiki mereka ditemui tanpa kelibat ketiga-tiga mereka.

Difahamkan, salah seorang mangsa culik iaitu Jari adalah warga tempatan dan bukan warga Indonesia seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Pada 5 Disember lalu juga, jam 6.30 pagi, berlaku serangan oleh empat lelaki bersenjata api ke atas bot tunda yang membawa 12 kru terdiri daripada dua warga Malaysia dan 11 kru warga Indonesia di perairan Pegasus Reef, Kinabatangan.

Seorang tekong Didy Saviady, 40, cedera di paha akibat terkena tembakan yang dilepaskan kumpulan terbabit manakala semua kru selamat.

1547 dibaca
Berita Harian X