Ahad, 9 Disember 2018 | 2:59pm
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim ketika sidang media kawalan keselamatan sempena perlawanan akhir bola sepak Piala AFF Suzuki di Ibupejabat Polis Kuala Lumpur. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Polis panggil penganjur untuk dirakam keterangan

KUALA LUMPUR: Polis akan memanggil penganjur perhimpunan kesyukuran penolakan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) untuk disiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata ia susulan laporan polis yang diterima pihaknya berhubung perhimpunan itu.

“Kita ada terima laporan terhadap penganjur perhimpunan kerana didapati ada peserta yang membawa kanak-kanak ke perhimpunan itu.

“Tindakan itu jelas melanggar Seksyen 4(2)(f) APA 2012 kerana membawa atau membenarkan kanak-kanak menghadiri perhimpunan, maka kita akan panggil penganjur untuk dirakam keterangan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tambah beliau, proses merakam keterangan adalah penting bagi memastikan kesalahan itu tidak diulang pada masa hadapan.

Beliau juga mengesahkan tiada pemimpin yang berucap dalam perhimpunan semalam akan disiasat di bawah Akta Hasutan.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada penganjur di atas kerjasama untuk menganjurkan perhimpunan yang aman.

“Mereka (penganjur) juga menepati janji mereka untuk mengutip sampah sebaik selesai perhimpunan, ini adalah contoh baik yang perlu diikuti oleh semua,” katanya.

Semalam, polis berkata kira-kira 55,000 peserta hadir ke perhimpunan dan tiada kejadian yang tidak diingini berlaku.

2527 dibaca
Berita Harian X