Jumaat, 7 Disember 2018 | 3:41pm
Anggota bomba menemui mayat lelaki yang dilaporkan hilang selepas perahu dinaikinya karam di Sungai Baram Long Pilah pada Rabu lalu . - Foto ihsan Bomba

Mangsa perahu karam ditemui lemas

MARUDI: Lelaki yang dilaporkan hilang selepas perahu dinaikinya karam di Sungai Baram, di sini sejurus selesai mencari durian, Rabu lalu, ditemui lemas pagi tadi.

Mangsa, Lian Ngau, 55, yang berasal dari Long Pilah ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jarak 100 meter dari lokasi kejadian pada jam 6.30 pagi.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira setengah jam selepas pasukan SAR menyambung semula operasi mereka pagi tadi.

“Mayat mangsa ditemui terapung tidak jauh dari lokasi perahunya karam pada hari kejadian. Mayat kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dalam kejadian Rabu lalu, mangsa bersama isterinya dilaporkan dalam perjalanan pulang ke rumah dari mencari durian dengan menaiki perahu.

Bagaimanapun, perahu dinaiki mangsa dikatakan terlanggar kayu sebelum karam.

Isteri mangsa dapat menyelamatkan diri dengan berpaut pada batang kayu, manakala mangsa dikatakan dibawa arus sebelum hilang.

Berita Harian X