Khamis, 6 Disember 2018 | 7:20pm

Makmal mini dan stor penyimpanan dadah digempur

KAMPAR: Hampir sebulan beroperasi akhirnya sindiket memproses dadah di daerah ini tumpas selepas polis merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM35 juta dan menahan empat ahli sindiket itu dalam dua serbuan, Selasa lalu.

Dalam serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak jam 7.45 malam sehingga jam 1 pagi itu, polis turut melumpuhkan makmal mini dadah di sebuah pangsapuri di Taman Kolej Perdana, di sini.

Difahamkan, serbuan ke atas makmal mini di rumah di pangsapuri itu adalah hasil penahanan empat suspek berusia 26 hingga 39 tahun dalam serbuan pertama di sebuah stor penyimpanan dadah di Kawasan Perindustrian Gopeng, di sini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, selain menahan empat suspek warga tempatan itu, polis turut menemui 676 kilogram (kg) dadah disyaki syabu yang disimpan di stor berkenaan.

Katanya, serbuan kedua dijalankan di sebuah pangsapuri yang dijadikan makmal mini kemudiannya menemui pelbagai jenis dadah dan bahan serta peralatan memproses dadah.

“Dalam serbuan kedua, polis merampas pelbagai jenis dadah antaranya heroin seberat 20.4 kg, 2.6 kg syabu, 3.6 kg heroin ‘base’, 4,000 pil Erimin 5, 187 kg serbuk dan cecair bahan kimia serta sejumlah peralatan memproses dadah.

“Selain nilai keseluruhan rampasan dadah berjumlah RM35 juta, polis juga menyita tiga kenderaan jenis Perodua MyVi, Nissan Cerato dan Nissan Navara dengan nilai sitaan berjumlah RM320,000,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar di sini hari ini.

Hadir sama, Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain.

Mohmad berkata, empat suspek yang ditahan sudah direman selama tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Menurutnya, semakan polis mendapati dua daripada suspek yang ditahan itu mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan dadah manakala ujian air kencing mendapati kesemua mereka negatif dadah.

Katanya, siasatan awal mendapati dadah berkenaan yang dirampas adalah untuk pasaran tempatan dan antarabangsa serta boleh dibekalkan untuk 3.5 juta penagih.

Sementara itu, Mohmad berkata, statistik rampasan syabu di seluruh negara tahun ini adalah sebanyak 3.8 juta tan iaitu catatan terbesar direkodkan sejak JSJN ditubuhkan dan jumlah itu melebihi jumlah rampasan untuk empat tahun sebelumnya.

795 dibaca
MOHMAD (depan tiga kiri) menunjukkan dadah yang dirampas sekitar Gopeng dan Kampar pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar. - NSTP/L Manimaran
Berita Harian X