Khamis, 6 Disember 2018 | 3:41pm
NAJIB Razak

Najib beri keterangan empat jam kepada SPRM

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi keterangan kira-kira empat jam di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini dipercayai berhubung siasatan pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sejurus selesai, kenderaan yang membawa Najib dilihat keluar, kira-kira jam 2.30 petang. Terdahulu, beliau tiba di Ibu Pejabat SPRM kira-kira jam 10.30 pagi.

Semalam, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dirakam keterangan oleh SPRM juga bagi membantu siasatan berhubung kes sama.

Dalam pada itu, sumber memberitahu NSTP, SPRM masih dalam proses merakam keterangan semua individu yang dikaitkan dengan isu pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.

Sumber itu berkata, semua individu yang dikaitkan dengan dakwaan pindaan itu mula dipanggil sejak minggu lalu.

Katanya, antara individu yang sudah dirakam keterangan termasuk bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr Ali Hamsa; bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy; Dzulkifli; pegawai Jabatan Audit Negara serta pegawai dari Kementerian Kewangan.

Pada 25 November lalu, Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad mendedahkan Najib mengarahkan pindaan dilakukan terhadap Laporan Akhir Pengauditan 1MDB menerusi pengguguran beberapa perenggan.

Antara pengguguran maklumat itu termasuklah membabitkan kehadiran ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB.

Menurut Madinah, antara individu yang turut terbabit dalam pindaan itu termasuk bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib, Tan Sri Shukry Salleh; Ali dan Arul.

Turut terbabit adalah wakil Jabatan Peguam Negara, wakil Kementerian Kewangan, bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada KSN dan bekas Pengarah Audit.

1088 dibaca
Berita Harian X