Rabu, 5 Disember 2018 | 6:25pm

'Mangsa pukul' sebenarnya mat rempit lari melawan arus

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang dipukul polis dikenal pasti sebagai mat rempit yang cuba lari daripada pemeriksaan polis dengan menunggang motosikal melawan arus sebelum hampir merempuh pelanggan sebuah restoran.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan, berkata kejadian berlaku jam 1.40 pagi Ahad lalu, apabila kereta peronda menerima maklumat berhubung sekumpulan penunggang motosikal sedang merempit serta menunggang secara merbahaya.

Menurutnya, kumpulan mat rempit itu dikesan melakukan aktiviti itu di kawasan Jambatan Seri Gemilang dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Presint 5, Putrajaya.

“Kereta peronda kemudian mengekori sebuah motosikal yang ditunggang dalam keadaan laju dan melawan arus di atas Jambatan Seri Gemilang menghala ke sebuah restoran berhampiran.

“Motosikal itu bagaimanapun terjatuh di lantai restoran berkenaan. Anggota polis peronda kemudian berjaya menahan penunggang dan pembonceng motosikal itu.

“Seorang saksi turut membuat laporan polis memaklumkan motosikal berkenaan hampir merempuh meja makan di restoran itu akibat lari daripada pemeriksaan polis,” katanya.

Menurutnya, anggota polis terbabit terpaksa bertindak secara spontan memukul penunggang motosikal itu.

“Pihak polis sudah mengambil tindakan mengeluarkan saman ke atas penunggang motosikal terbabit kerana melakukan beberapa kesalahan trafik iaitu Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada lesen memandu, tiada perlindungan insurans dan tiada nombor plet pada hadapan dan belakang motosikal.

“Pada Selasa lalu, seorang lelaki membuat laporan di Balai Polis Dengkil, Sepang, mendakwa dipukul anggota polis berpunca kerana melarikan diri daripada pemeriksaan polis,” katanya.

Menurutnya, siasatan sudah dijalankan terhadap anggota polis terbabit mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

“Laporan polis juga dibuat terhadap penunggang motosikal itu yang disiasat mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana menunggang secara melulu yang boleh membawa kematian kepada orang awam dan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana membahayakan nyawa dan diri sendiri,” katanya.

Sebelum ini netizen dikejutkan dengan video yang tular di media sosial menunjukkan seorang anggota polis memukul seorang lelaki di tempat awam.

Dalam rakaman video berdurasi 45 saat itu, anggota polis berpakaian seragam itu mengarahkan lelaki yang sedang diperiksa supaya bangun sebelum dia bertindak memukul kepala lelaki itu.

Anggota polis terbabit kemudian menendang lelaki terbabit sambil menjerit, “Kau samseng mana?”

Pada akhir rakaman, anggota polis terbabit dilaporkan mengarahkan individu yang merakam video berkenaan supaya memadamkan rakamannya.

2058 dibaca
SEORANG lelaki yang dipukul polis dikenal pasti sebagai mat rempit yang cuba lari daripada pemeriksaan polis dengan menunggang motosikal melawan arus sebelum hampir merempuh pelanggan sebuah restoran.
Berita Harian X