Rabu, 5 Disember 2018 | 9:00am
KEMALANGAN membabitkan treler dan lori tiga tan di Kilometer 282.5 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Plaza Tol Nilai yang mengakibatkan pemandu treler maut di tempat kejadian. - Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa kemalangan. - Ihsan Bomba
DALAM kejadian jam 12 tengah malam ini, treler 40 tan membawa muatan sayur itu dipercayai hilang kawalan lalu merempuh lori tiga tan di depannya. - Ihsan Bomba

Pemandu maut, kelindan parah treler langgar lori

NILAI: Seorang pemandu treler maut manakala kelindannya parah selepas kenderaan itu melanggar sebuah lori di Kilometer 282.5 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Plaza Tol Nilai di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian jam 12 tengah malam itu, treler 40 tan membawa muatan sayur itu dipercayai hilang kawalan lalu merempuh lori tiga tan di depannya, sebelum kedua-dua kenderaan itu terbalik dan terseret sejauh kira-kira 60 meter.

B Thinagaran, 39, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala serta beberapa bahagian badan, manakala kelindannya berusia 37 tahun patah kaki akibat tersepit dalam treler yang terbalik itu.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Pegawai Bomba Kanan Mohd Syazwan Saidy, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 12.01 tengah malam dan 20 anggota dengan dua jentera termasuk dari Balai Nilai dihantar ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, kita dapati kedua-dua kenderaan itu terbalik dengan treler itu melintang di atas dua lorong lebuh raya berkenaan.

"Pemandu dan kelindan treler didapati tersepit di bahagian kepala kenderaan itu yang remuk, manakala pemandu lori yang dilanggar pula tidak mengalami kecederaan.

"Kita mengambil masa kira-kira sejam untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit, namun pemeriksaan mendapati pemandu treler itu sudah meninggal dunia," katanya.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban untuk bedah siasat manakala kelindan turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, kemalangan itu menyebabkan kesesakan sejauh kira-kira 10 kilometer selama hampir sejam.

503 dibaca
Berita Harian X