Selasa, 4 Disember 2018 | 1:36pm
ANTARA suspek yang dipercayai terbabit dalam kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, minggu lalu tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, pagi tadi. - NSTP/Sairien Nafis
POLIS sedang mengesan 28 individu bagi membantu siasatan insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Seafield, Subang Jaya. - Foto Ihsan PDRM

83 orang ditahan berhubung rusuhan kuil - Ketua Polis Negara

KUALA LUMPUR: Jumlah individu yang ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam insiden di Kuil Sri Maha Mariamman, dekat Usj 25, Subang Jaya, minggu lalu, meningkat kepada 83 orang sehingga jam 8 pagi tadi.

Jumlah itu meningkat seramai 15 orang berbanding sehingga jam 8 pagi semalam iaitu 68 orang.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun ketika sidang media di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM), dekat Cheras, di sini, pagi hari ini.

“Suspek yang ditahan meningkat kepada 83. Ini sehingga jam 8 pagi tadi.

“Kalau ada kemajuan, kita akan maklum lagi selepas jam 8 pagi esok supaya tidak bercanggah,” katanya sejurus menyaksikan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) dengan Kolej UNIKOP, milik Koperasi PDRM, hari ini.

Ketika diminta mengulas sama ada penahanan 15 suspek yang terbaru itu adalah individu yang diminta tampil semalam, Mohamad Fuzi enggan mendedahkan perkara berkenaan.

“Semua mereka terbabit dengan insiden di kuil (Sri Maha Mariamman). Tindakan buru suspek berterusan,” katanya.


SEBAHAGIAN Anggota Unit Berkuda PDRM menerima arahan dari Pegawai Polis yang bertugas sebelum memulakan rondaan di sekitar kawasan Kuil Sri Maha Mariamman hari ini. - Foto BERNAMA

PDRM semalam mengeluarkan kenyataan sedang mengesan 28 saksi bagi membantu siasatan insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman dengan memohon kerjasama mereka yang terbabit supaya tampil bagi membantu siasatan.

Insiden rusuhan yang bermula pada Isnin lalu itu menyebabkan 23 kenderaan musnah dibakar, manakala cermin sebuah pusat beli-belah turut dipecah dan dirosakkan.

Dalam kejadian awal pagi Selasa di hadapan kuil berkenaan, seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang ke lokasi untuk memadam kebakaran kereta, parah akibat dipukul sekumpulan perusuh.

1422 dibaca
Berita Harian X