Selasa, 4 Disember 2018 | 1:01pm
GAMBAR fail, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Polis pantau perhimpunan ICERD Sabtu ini - Fuzi

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memantau perhimpunan ‘kesyukuran’ meraikan kejayaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di Jalan Raja, di sini, pada Sabtu ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah membenarkan penganjur untuk menggunakan lokasi yang telah ditetapkan.

“Polis akan pantau dan akan mengawal keadaan sepanjang perhimpunan itu Sabtu ini kerana ia telah mendapat kebenaran DBKL.

“PDRM juga akan keluarkan surat kebenaran untuk perhimpunan itu dan berharap semua pihak mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis Konvokesyen Kolej UniKop di Maktab PDRM di sini, hari ini.

Semalam Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, berkata pihaknya hanya membenarkan penganjur menggunakan Jalan Raja sahaja iaitu di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad sebagai lokasi perhimpunan dari pukul 2 petang hingga 6 petang.

DBKL telah menerima permohonan daripada penganjur yang terdiri daripada Muafakat (Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia), Ummah (Gerakan Pembela Ummah) dan Daulat (Persatuan Bekas Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia) sahaja pada 27 November lepas.

Pada 23 November lalu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata kerajaan Pakatan Harapan tidak akan meratifikasi ICERD dan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang di dalamnya termaktub kontrak sosial dipersetujui wakil semua kaum ketika pembentukan negara ini.

Susulan kenyataan itu, Ketua Sekretariat Gerakan Pembela Ummah, Aminuddin Yahaya, memaklumkan perhimpunan di Dataran Merdeka pada Sabtu ini tetap diteruskan namun ditukar menjadi majlis kesyukuran.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan memaklumkan UMNO akan menyertai perhimpunan itu sebagai tanda ‘terima kasih’ terhadap keputusan kerajaan tidak meratifikasi ICERD. – BERNAMA

Berita Harian X