Sabtu, 1 Disember 2018 | 10:40am

Lelaki cabul remaja ditahan

KULIM: Tindakan seorang lelaki bersama rakannya menceroboh sebuah rumah di Taman Seraya, di sini, dan mencabul remaja perempuan dan membawa lari komputer riba, tab dan topi keledar Selasa lalu, ditahan polis malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar, berkata dalam kejadian jam 3 pagi itu, mangsa berusia 17 tahun sedang tidur bersama tiga rakan perempuan di rumahnya apabila dua lelaki berusia 20-an itu menceroboh masuk.

Menurutnya, ketika itu, lampu bilik dalam keadaan terpasang dan seorang daripada suspek menyentuh kemaluan mangsa.

“Selepas mencabul mangsa, dia kemudian mengambil sebuah komputer riba, sebuah topi keledar dan tab jenama Asus sebelum mereka melarikan diri.

“Bagaimanapun mangsa mengecam seorang daripada suspek itu kerana bekerja dengan bapanya sebagai pekerja kontrak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Nasir berkata, mangsa yang trauma dengan kejadian itu kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Kulim untuk tindakan lanjut.

“Susulan laporan itu, polis mengesan suspek sebelum menahannya di hadapan rumah mangsa jam 9.45 malam tadi ketika dia bertemu keluarga itu untuk berbincang. Suspek mengaku terbabit dalam kejadian pecah rumah dan cabul itu,” katanya.

Beliau berkata, semakan juga mendapati suspek memiliki dua rekod jenayah lampau iaitu mencuri kenderaan.

“Perintah tahanan reman akan dimohon hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

1134 dibaca
Berita Harian X