Jumaat, 30 November 2018 | 10:06pm
ANGGOTA bomba berjaya menyelamatkan dua kanak-kanak yang terperangkap di dalam kereta. - Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba mengambil masa selama 20 minit untuk menunjukkan kanak-kanak yang terperangkap dalam kereta cara untuk membuka pintu. - Ihsan Bomba

Bomba selamatkan 2 beradik terperangkap dalam kereta

SUBANG JAYA: Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila dua anaknya masing-masing berusia tiga tahun dan sembilan bulan terperangkap di dalam kereta ketika dia memberhentikan kenderaannya untuk menyerahkan sepucuk surat kepada jirannya di Bandar Sunway, di sini, petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Timbalan Penguasa Bomba, Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 6.35 petang dari bapa mangsa sebelum sepasukan anggota bersama jentera ke lokasi.

“Anggota yang tiba 10 minit kemudian mendapati seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan dan kakaknya berusia tiga tahun terperangkap dalam Mini Cooper dengan enjin masih hidup.

“Memandangkan kereta itu tidak boleh diumpil, anggota bomba di lokasi cuba untuk mengajar kanak-kanak berusia tiga tahun itu membuka kunci kereta itu.

“Mereka bermain-main dengan kanak-kanak itu menggunakan alat seperti lampu suluh, sehingga akhirnya kanak-kanak itu mengikuti arahan anggota bomba untuk membuka kunci kereta,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Syed Shahril Anuar berkata, pihaknya mengambil masa selama 20 minit untuk menunjukkan kanak-kanak itu cara untuk membuka pintu.

“Kanak-kanak itu suka bermain dengan anggota bomba, kami mengambil masa sedikit untuk melayannya kerana kanak-kanak agak sukar dijangka perangai mereka.

“Kami berasa lega akhirnya dia berjaya mengikut arahan untuk membuka sendiri pintu kereta,” katanya.

893 dibaca
Berita Harian X