Jumaat, 30 November 2018 | 6:26pm
DUA maut manakala lapan lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Batu 15, Lebuhraya Timur Barat Jeli-Gerik di Jeli, tengah hari tadi. - Ihsan Bomba

2 maut, 8 cedera nahas kemalangan

KOTA BHARU: Dua maut manakala lapan lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan, Proton Exora dan Hilux di Batu 15, Lebuhraya Timur Barat Jeli-Gerik di Jeli, tengah hari tadi.

Mereka yang maut adalah pemandu Proton Exora, Mohzan Othman, 54, dan penumpang hadapan kereta itu, Rose Haiza Ishak, 44.

Tiga dari lapan yang cedera adalah penumpang Proton Exora dan dipercayai ahli keluarga terdekat mangsa.

Mereka adalah tiga beradik, Noriman Khairini Mohzan, 7; Norzila Zulaikha, 10; dan Norzaiti Izati, 17.

Lima lagi yang cedera adalah pemandu dan penumpang Hilux dan mereka adalah Rahimi Mamat, 45; Rosli Wahab, 57; Mohd Razlan Omar@ Wahab, 52, adiknya yang hanya dikenali sebagai Mohd Rozi serta anak Mohd Rozi, dikenali sebagai Mohd Irfan.

ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan di Batu 15, Lebuhraya Timur Barat Jeli-Gerik di Jeli, tengah hari tadi. - Ihsan Bomba

Proton Exora di percayai dari arah Gerik ke Jeli, dikatakan hilang kawalan sebelum bertembung Hilux.

Menurut Ketua Bomba dan Penyelamat Jeli, Mohamad Shahril Mohamad Sa’aid, enam anggota bomba bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan pada jam 1.05 tengah hari.

Katanya, terdapat dua kenderaan terbabit dalam kejadian itu setibanya bomba di lokasi 30 minit kemudian.

“Setibanya di situ, anggota bomba menyelamatkan lima mangsa yang cedera di dalam kenderaan Hilux dan seterusnya menyelamatkan mangsa yang tersepit.

“Dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan di serahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Mohamad Shahril berkata semua mangsa cedera dibawa ke Hospital Jeli untuk rawatan lanjut.

Berita Harian X