Khamis, 29 November 2018 | 6:42pm
HANIFF Khatri (kiri) bersama Muhammad Rafique Rashid menunjukkan keratan whatapp yang tular mengatakan mereka mengupah 50 orang yang mencetuskan rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Dua peguam nafi terbabit kes rusuhan di kuil

KUALA LUMPUR: Dua peguam yang dilantik syarikat pemaju dan pemilik tanah kuil Sri Maha Mariamman, One City Development Sdn Bhd (One City), hari ini menafikan pembabitan mereka dalam jenayah yang mencetuskan rusuhan di rumah ibadat masyarakat India di USJ 15 di sini.

Peguam itu, Haniff Khatri berkata, beliau dan seorang lagi peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali, dilantik pemaju berkenaan bagi menjaga kepentingan mana-mana pegawai dan pekerjanya yang dipanggil atau ditahan pihak polis untuk membantu siasatan mereka berkaitan rusuhan berkenaan.

Katanya, beliau dilantik pada jam sekitar 7.30 malam pada 26 November (Isnin) lalu iaitu lebih dari 12 jam selepas rusuhan di kuil berkenaan berlaku, yang mana pada masa lantikan itu, cuma seorang pekerja syarikat ditahan pihak polis pada tengah hari itu.

“Justeru, saya mencadangkan dan syarikat kemudian melantik Muhamad Rafique Rashid Ali sebagai peguam untuk mewakili pekerja itu semasa prosiding reman pada 27 November lalu, jam 11 pagi di Mahkamah Majistret Petaling Jaya. Saya mengesahkan dua pegawai dan seorang pekerja sudah direman.

“Bagaimanapun, tiada seorang pun peguam yang ditahan reman dalam kes berkenaan sebagaimana dilaporkan pada sidang media Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, kelmarin,” katanya dalam sidang media bersama Muhammad Rafique di pejabatnya di Kota Damansara di sini, hari ini.

Haniff berkata, sidang media itu memang perlu dibuat kerana isu yang berlaku itu menyentuh sensitiviti rakyat dan menjadi tanggungjawab mana-mana Menteri untuk memberi penjelasan kepada rakyat apa yang berlaku di USJ 15 itu pada Isnin itu tidak membabitkan isu perkauman dan isu agama.

Sebaliknya, pertikaian adalah antara dua pihak iaitu pemilik tanah lokasi kuil itu ditempatkan dan dua pihak pengurusan berasingan yang menguruskan kuil itu, namun apa yang menjadi isu adalah perkara yang dinyatakan dalam sidang media itu, sedangkan perkara itu belum lengkap siasatannya, malah ada kandungannya yang diberikan kurang tepat.

“Dalam sidang media itu dinyatakan kononnya One City iaitu pemilik tanah itu menggunakan peguam untuk mengupah 50 orang samseng Melayu dalam urusan penempatan semula kuil berkenaan. Perkara ini tidak sepatutnya timbul kerana isu ini sedang dalam siasatan,” katanya.

Beliau menjelaskan, rentetan sidang media itu yang menyatakan dua peguam terbabit, maka orang ramai menghebahkan kononnya peguam berkenaan adalah dirinya dan Muhammad Rafique.

“Pagi ini, sudah viral di media massa dan sosial seperti Facebook serta Whatapp gambar saya dan Muhammad Rafique dengan menambah ‘caption’ jahat dan palsu kononya, saya dan Muhamad Rafique adalah dua peguam yang mengupah samseng Melayu ini.

“Keterangan gambar itu menyatakan kononnya kami adalah peguam yang dibayar RM150,000 untuk membantu mengambil alih kuil itu dan kononnya kami ambil RM135,000 selepas membayar 50 gengster Melayu sebanyak RM300 setiap seorang untuk ambil alih kuil pagi Ahad lalu,” katanya.

Haniff berkata, beliau dan Muhammad Rafique mengutuk keras tohmahan jahat dan fitnah palsu yang diedarkan orang ramai itu dan meminta mana-mana pihak yang menghebahkannya supaya berwaspada .

“Kami memberi amaran tegas akan mengambil tindakan undang-undang terhadap kesemua atau mana-mana individu yang terbabit menyebarkan fitnah ini.

“Kami akan laporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyiasat dan mencari sumber serta pihak yang bertanggungjawab hingga ke akar umbi fitnah ini dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang.

“Kami juga akan membuat laporan polis sedikit masa lagi. Isu ini bukan berhubung fitnah kepada kami saja tetapi isu keselamatan dan kesejahteraan masyarakat yang difitnah berbentuk perkauman yang hanya akan menyemarakkan isu perkauman dalam negara sedangkan ia baru saja hendak pulih,” katanya.

Beliau menjelaskan dalam isu berkenaan, mana-mana pihak termasuk Menteri dan polis tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan berkaitan fakta siasatan kerana ia membabitkan pihak yang sedang disiasat dan sesiapa saja yang berkaitan termasuk keluarga mereka.

“Isu tindakan mahkamah sivil berkaitan tuntutan tanah dan perintah pengambilan semula tanah itu diuruskan peguam sivil yang lain, bukannya kami. Jadi, maklumat mengenai perkara itu perlu ditanya kepada mereka,” katanya.

Beliau juga mengutuk penyebaran fitnah yang mengaitkan beliau dengan kepemimpinan kerajaan secara salah berkaitan dengan isu rusuhan di kuil berkenaan.

“Hari ini, ada satu fitnah lebih bahaya sebab membabitkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Ini cubaan mengaitkan secara salah dan biadap kepada Perdana Menteri dan saya dengan mengaitkan dengan rusuhan perkauman. Ini tulisan Raja Petra Kamaruddin tapi saya bukan hendak cakap pasal dia ini.

“Saya dan Muhammad Rafique sudah diketahui umum memang menyokong perjuangan Tun Dr Mahathir, malah pernah mewakili dan masih menjadi peguamnya, namun tidak bermakna kami tidak boleh menguruskan kes lain termasuk mewakili One City Development,” katanya.

1028 dibaca
Berita Harian X