Khamis, 29 November 2018 | 5:22pm
MOHAMAD Fuzi Harun pada sidang media Majlis Forum Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) bertajuk 'Ke Arah Perkhidmatan Kepolisan yang Cemerlang' di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM), Cheras. - Foto BERNAMA

Polis belum lulus permit perhimpunan ICERD

KUALA LUMPUR: Polis belum meluluskan perhimpunan mengenai ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang dijadualkan berlangsung di ibu negara pada 8 Disember ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata pihaknya ada menerima permohonan daripada penganjur untuk mengadakan perhimpunan itu.

“Mereka (penganjur) sudah membuat permohonan dan sudah memanggil pihak berkenaan. Setakat ini, kita belum memberikan permit kerana perlu membuat penilaian terlebih dulu berkaitan keselamatan.

“Pada masa sama, penganjur juga perlu mendapatkan kebenaran DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) untuk mengadakan perhimpunan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Forum Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC): Ke Arah Perkhidmatan Kepolisan Yang Cemerlang di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur, Cheras, di sini, hari ini.

Pada 23 November lalu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, kerajaan Pakatan Harapan tidak akan meratifikasi ICERD dan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang di dalamnya termaktub kontrak sosial dipersetujui wakil semua kaum ketika pembentukan negara ini.

Susulan kenyataan itu, Ketua Sekretariat Gerakan Pembela Ummah, Aminuddin Yahaya, memaklumkan perhimpunan di Dataran Merdeka pada 8 Disember ini tetap diteruskan, namun ditukar menjadi majlis kesyukuran.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan memaklumkan UMNO akan menyertai perhimpunan itu sebagai tanda ‘terima kasih’ terhadap keputusan kerajaan tidak meratifikasi ICERD.

Berita Harian X