Khamis, 29 November 2018 | 2:50pm

Kes cabul kehormatan, bekas pembantu ADUN DAP diarah bela diri

GEORGETOWN: Bekas pembantu seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP diarah bela diri oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan mencabul kehormatan seorang penuntut kolej tahun lalu.

Majistret Jamaliah Abd Manap, dalam penghakiman di akhir kes pendakwaan berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie ke atas L Prem Anand, 51.

“Selepas meneliti kenyataan saksi dan dokumen yang disertakan, mahkamah mendapati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie ke atas tertuduh.

“Justeru, kamu diarahkan untuk membela diri,” katanya.

Jamaliah mengingatkan tertuduh yang juga bekas Ahli Majlis Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), bahawa dia mempunyai tiga pilihan sama ada memberi bukti di mahkamah, memberi keterangan secara bersumpah atau berdiam diri.

Peguam mewakili tertuduh, E Gnasegaran, memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya sedia untuk memberi keterangan secara bersumpah.

“Kami akan memanggil satu atau dua saksi untuk memberi keterangan,” katanya,

Jamaliah kemudian menetapkan 15 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pada 18 Julai tahun lalu, tertuduh dituduh mencabul seorang wanita pada 6 Julai lalu dan mengaku tidak bersalah.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan maksud mencabul kehormatan wanita berusia 21 tahun di tempat letak kereta pusat hiburan di Lebuh Pantai, pada jam 11.30 malam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, atau dua daripada mana-mana hukuman itu, jika sabit kesalahan

Tertuduh dibenarkan ikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin.

Mangsa ketika memberi keterangan memberitahu mahkamah bahawa dia dicium dan kemaluannya diramas tertuduh di kawasan tempat letak kereta.

Dia juga memberitahu mahkamah bahawa tertuduh mengeluarkan kemaluannya sebelum memaksa mangsa memegang dan memasukkannya ke dalam mulut .

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Shafiq Mohd Sazalli.

Berita Harian X