Rabu, 28 November 2018 | 10:32pm
MENTERI Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin (kiri) dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun pada sidang media mengenai isu Kuil Sri Maha Mariamman di Putrajaya. - Foto MOHD FADLI HAMZAH

2 firma guaman nafi upah samseng dalam insiden kekecohan kuil

KUALA LUMPUR: Firma guaman Skrine menafikan yang peguam syarikat itu terbabit mengupah samseng hingga mencetuskan insiden kekecohan dekat kuil Sri Maha Mariamman di Selangor pada awal pagi Isnin dan semalam.

Rakan firma guaman itu, Khoo Guan Huat dalam satu kenyataan berkata, tiada mana-mana peguam syarikat itu ditahan oleh polis dan firma berkenaan tidak tahu langsung mengenai isu mengupah samseng.

Beliau berkata firma berkenaan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan sedemikian.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini berkata dua peguam dari syarikat pemaju, One City Development Sdn Bhd, mengupah samseng untuk mengambil alih kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Putra Heights, dan mereka menceroboh kuil, sehingga mencetuskan rusuhan.

Muhyiddin juga berkata, peguam itu adalah antara 21 orang yang ditahan oleh polis.

Khoo berkata, Skrine kini mewakili pihak pemaju dalam prosiding sivil membabitkan pemilikan tanah yang kuil itu terletak tetapi “kami secara mutlak menyatakan bahawa kami bukanlah peguam yang dirujuk oleh Menteri Dalam Negeri.”

Beliau berkata, semua langkah yang diambil oleh firma guaman sebagai peguamcara bagi pemaju berkenaan telah dan akan terus secara tegas mematuhi undang-undang.

Satu lagi firma guaman, Tetuan Thomas Philip, berkata syarikat itu tidak lagi mewakili One City Development berhubung pelaksanaan penghakiman persetujuan membabitkan kuil Sri Maha Mariamman.

Rakan firma guaman itu, Mathew Thomas Philip dalam satu kenyataan berkata, syarikat itu tidak lagi mewakili One City Development pada 2015 apabila firma guaman lain mengambil alih perkara itu.

“Saya terbabit dalam rundingan yang sukar sehingga menghasilkan penghakiman persetujuan yang dipersoalkan berjaya direkodkan di mahkamah, untuk menyelesaikan pertikaian secara aman dengan pihak kuil pada 2014.

“Bagaimanapun, saya ingin menjelaskan bahawa sejak 2015, firma itu tidak pernah sama sekali terbabit dalam pelaksanaan penghakiman persetujuan, kerana perkara itu sudah diambil alih oleh firma peguam lain,” katanya. – BERNAMA

2250 dibaca
Berita Harian X