Rabu, 28 November 2018 | 8:32pm
TAN Sri Mohamad Fuzi Harun - Foto BERNAMA

Polis nafi pembabitan anggota dalam rusuhan di kuil

CHERAS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan pembabitan seorang anggotanya dalam kejadian rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, Isnin lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata video tular sejak Isnin lalu yang mendakwa seorang anggota polis menyertai rusuhan berkenaan adalah tidak benar.

“Selepas diperiksa lelaki berkenaan adalah bekas sukarelawan polis namun sudah lama diberhentikan atas sebab-sebab tertentu.

“Polis sudah memeriksa dan dakwaan berkenaan tidak benar sama sekali,” katanya pada sidang media di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini, hari ini.

Video berdurasi sembilan saat memaparkan seorang lelaki sedang mengawal kemarahan ketika rusuhan berlaku.

Video berkenaan mula tular di laman sosial selain gambar lelaki berkenaan memakai uniform polis.

Dalam kejadian 26 November lalu, 23 kenderaan musnah dibakar, manakala cermin sebuah pusat beli-belah turut dipecah dan dirosakkan.

Akibat kejadian rusuhan itu, seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya yang diserang perusuh cedera dan kini dirawat di Institut Jantung Negara.

Berita Harian X