Rabu, 28 November 2018 | 7:48pm
MAZLAN (tengah) mengadakan sidang media berhubung insiden Kuil Sri Mariamman, USJ 25 di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli

Rusuhan di kuil: 30 individu ditahan setakat ini

SUBANG JAYA: Seramai 30 individu sudah ditahan susulan kekecohan di kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, di sini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor, berkata jumlah itu meningkat dengan tertangkapnya sembilan individu dalam operasi di sekitar negeri ini, tengah hari tadi.

“Individu yang ditahan sebelum ini akan direman sehingga Sabtu ini, manakala individu yang baharu ditahan akan direman esok.

“Polis akan membuat beberapa lagi tangkapan dalam masa terdekat berhubung kes ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di sini, hari ini.

Mazlan berkata, beberapa lagi individu akan dipanggil untuk diambil keterangan termasuk pemaju One City Development Sdn Bhd (One City).

“Siasatan masih berjalan dan polis sedang mendapatkan saksi dalam kes ini, apa sahaja versi saksi yang boleh bantu siasatan kita akan panggil,” katanya.

Dalam kejadian pada 26 November lalu , 23 kenderaan musnah dibakar, manakala cermin sebuah pusat beli-belah turut dipecah dan dirosakkan.

Akibat kejadian rusuhan itu, seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya yang diserang perusuh berada di dalam keadaan kritikal.

Selain itu seorang anggota polis turut patah tangan ketika rusuhan yang berlaku sejak Isnin lalu.

2497 dibaca
Berita Harian X