Rabu, 28 November 2018 | 10:42am
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun pada sidang media selepas menziarahi salah seorang anggota bomba yang diserang perusuh semalam di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC). - Foto BERNAMA

Pasukan khas buru suspek insiden rusuhan di kuil - KPN

CHERAS: Polis sudah menubuhkan pasukan khas bagi memburu suspek kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya, sejak kelmarin.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata pasukan khas dari Bukit Aman itu akan membantu Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dalam usaha mengesan suspek mencederakan dua penjawat awam dalam insiden berkenaan.

“Operasi sedang dilancarkan bagi memburu suspek yang mencederakan anggota polis dan bomba dalam kejadian itu.

“Pasukan khas juga sedang mengesan kumpulan yang merusuh di pusat beli-belah One City,” katanya pada sidang media di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohamad Fuzi melancarkan buku pembuktian dan pendakwaan serta buku panduan siasatan jenayah membabitkan agen kimia, biologikal, radiologikal, nuklear dan letupan (CBRNE).

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd.

Mengulas lanjut, Mohamad Fuzi berkata, setakat ini, tangkapan ke atas individu berhubung insiden terbabit masih kekal 21 orang.

“Seramai 21 individu berkenaan kini direman bagi membantu siasatan berhubung kejadian rusuhan itu.

“Masih terlalu awal untuk kita (polis) katakan salah seorang daripada mereka adalah dalang utama,” katanya.

Beliau berkata, keadaan semalam terkawal walaupun ada sekumpulan individu antara 50 hingga 100 orang, cuba mencetuskan kekecohan.

“Polis memerlukan maklumat daripada orang ramai, mungkin ada dalam kalangan mereka yang membuat rakaman video atau sebagainya.

“Kita boleh proses (rakaman video), sekali gus dapat membantu pasukan khas mengesan suspek,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor, sebagai berkata sebanyak 23 kenderaan musnah dibakar, setakat ini, dalam insiden berhubung rusuhan itu.

Mazlan berkata, polis turut menyiasat kejadian cermin pusat beli-belah One City dipecah dan dirosakkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Berita Harian X