Selasa, 27 November 2018 | 10:18pm
DATUK Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Azeez beri keterangan hampir 7 jam

PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim memberi keterangan hampir tujuh jam kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Beliau yang juga ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO dipanggil untuk hadir ke ibu pejabat SPRM di sini bagi membantu siasatan berkaitan kes tender projek kerajaan.

Kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima putih dinaiki Abdul Azeez dilihat meninggalkan ibu pejabat SPRM jam 10 malam ini.

Terdahulu Abdul Azeez tiba di ibu pejabat SPRM pada jam 3.15 petang tadi.

Beliau sepatutnya hadir ke ibu pejabat SPRM untuk memberi keterangan semalam namun, memohon pertemuan itu ditangguhkan ke hari ini kerana mahu menghadiri persidangan di Parlimen.

Pada 25 September lalu, SPRM menahan Abdul Azeez, abangnya merangkap pengurus besar syarikat hartanah, Datuk Abdul Latif Abdul Rahim serta seorang pengarah syarikat berhubung kes rasuah syarikat kontraktor berkenaan.

Abdul Azeez dan pengarah syarikat berkenaan ditahan di ibu pejabat SPRM masing-masing pada jam 11.15 pagi dan 5.30 petang ketika hadir memberi keterangan, manakala Abdul Latif ditahan pada jam 11.30 pagi di Sungai Buloh, Selangor.

Semua suspek ditahan mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penerimaan rasuah daripada sebuah syarikat kontraktor bagi satu projek Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji).

Abdul Azeez, Abdul Latif dan pengarah syarikat itu direman selama empat hari dan selepas itu tempoh reman Abdul Azeez dan abangnya dilanjutkan lagi selama enam hari bagi membolehkan SPRM melakukan siasatan lanjut.

Pada 5 Oktober, Abdul Azeez merangkap bekas Pengerusi Tabung Haji bersama abangnya itu dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM500,000 setiap seorang dengan dua penjamin.

Berita Harian X