Selasa, 27 November 2018 | 7:25pm
NURUL Najihah Mohd Radzi (kiri) dan Muhammad Adib Mohd Kassim.

'Saya masih terkejut'

SUBANG JAYA: “Sukar untuk saya luahkan perasaan saya buat masa ini, saya masih terkejut,” luah Nurul Najihah Mohd Radzi, tunang kepada Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang diserang perusuh awal pagi tadi.

Nurul, 25, yang ditemui di luar Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), berkata kali terakhir dia bertemu Adib adalah pada jam 6 petang semalam.

“Selalunya sebelum Adib masuk bertugas, kami akan berjumpa terlebih dahulu, petang semalam kami makan bersama.

“Saya dimaklumkan pasal kejadian yang menimpa Adib menerusi mesej yang tular, saya ada menerima panggilan sebelum itu tetapi saya tidak jawab kerana saya sudah tidur.

“Saya kemudian menghubungi rakan sepasukannya untuk mengesahkan perkara itu yang kemudian memaklumkan Adib sudah berada di hospital,” katanya.

Eksekutif jualan itu berkata, dirinya amat terkesan dengan tindakan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab menularkan berita tidak benar berkenaan keadaan tunangnya.

“Hentikan penularan berita yang tidak benar, ia memberi kesan kepada ahli keluarga.

“Kalau boleh, teruskan berdoa untuk keselamatan Adib, keadaan terkininya lebam di badan dan muka nampak macam surut sedikit jika dibandingkan pagi tadi.

“Bagaimanapun tekanan darahnya masih rendah,” katanya.

Difahamkan, pasangan yang berasal dari Kedah itu merancang untuk melangsungkan perkahwinan mereka pada 21 Disember ini.

Sebelum ini media melaporkan Nurul memuat naik keluhan mengenai Adib di akaun Facebooknya.

“Kamu kuat. Cepat bangun kamu Muhammad Adib. Doakan tunang saya... tak kuat tengok kamu macam itu,” katanya.

Sebahagian besar pengguna Facebook daripada pelbagai bangsa turut melahirkan rasa simpati kepada Nurul selain mendoakan keselamatan tunangnya.

Sementara itu, abang Adib, Muhammad Asyraf, berkata pihak keluarga buat masa ini tidak mahu bertemu dengan media.

“Ia satu keadaan yang sukar, dan kami selaku keluarga Adib belum bersedia untuk bertemu dengan pihak media,” katanya ringkas ketika ditemui.

Dalam kejadian jam 1 pagi tadi, Adib, anggota bomba yang ke lokasi bagi memadam kebakaran kereta di luar kuil Sri Maha Mariamman bersama pasukannya, dilaporkan cedera diserang perusuh.

Dia yang duduk di bahagian penumpang hadapan unit EMRS dikatakan ditarik keluar oleh kumpulan perusuh sebelum dipukul.

Bagaimanapun, mangsa diselamatkan beberapa orang awam yang berada di lokasi kejadian sebelum dibawa ke SJMC untuk rawatan lanjut.

Serangan berkenaan turut menyebabkan dua jentera bomba iaitu satu unit van EMRS dan jentera pemadam (FRT) dirosakkan kumpulan perusuh dianggarkan seramai 1,000 orang.

11948 dibaca
Berita Harian X