Selasa, 27 November 2018 | 4:37pm
AHLI Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima putih. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Azeez tiba di SPRM untuk beri keterangan

PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini bagi melengkapkan siasatan kes rasuah syarikat kontraktor.

Abdul Azeez yang juga ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO itu tiba pada jam 3.08 petang dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima putih.

Beliau sepatutnya hadir ke ibu pejabat SPRM untuk memberi keterangan semalam, namun memohon pertemuan itu ditangguhkan ke hari ini kerana mahu menghadiri persidangan Parlimen.

Pada 25 September lalu, SPRM menahan Abdul Azeez, abangnya merangkap pengurus besar syarikat hartanah, Datuk Abdul Latif Abdul Rahim serta seorang pengarah syarikat berhubung kes berkenaan.

Abdul Azeez dan pengarah syarikat berkenaan ditahan di ibu pejabat SPRM pada jam 11.15 pagi dan 5.30 petang ketika hadir memberi keterangan, manakala Abdul Latif ditahan pada jam 11.30 pagi di Sungai Buloh, Selangor.

Semua suspek ditahan mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penerimaan rasuah daripada sebuah syarikat kontraktor bagi satu projek Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji).

Abdul Azeez, Abdul Latif dan pengarah syarikat itu direman selama empat hari dan selepas itu tempoh reman Abdul Azeez dan abangnya dilanjutkan lagi selama enam hari bagi membolehkan SPRM melakukan siasatan lanjut.

Pada 5 Oktober, Abdul Azeez merangkap bekas Pengerusi Tabung Haji bersama abangnya itu dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM500,000 setiap seorang dengan dua penjamin.

Berita Harian X