Selasa, 27 November 2018 | 10:13am

Anggota bomba diserang dilaporkan parah, ditempatkan di ICU

SUBANG JAYA: Seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya yang diserang perusuh di Kuil Maha Mariamman, USJ25 jam 1 pagi tadi dilaporkan cedera parah dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC).

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata, mangsa, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai mengalami kecederaan patah tulang rusuk serta beberapa kecederaan dalaman.

"Akibat diserang perusuh, mangsa yang dipercayai mengalami patah tulang rusuk serta kecederaan dalaman lain kini berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Mangsa kini ditempatkan di unit ICU bagi membolehkan kesihatannya dipantau," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini, NSTP melaporkan, seorang anggota bomba yang datang ke lokasi bagi memadam kebakaran kereta di luar kuil berkenaan bersama pasukannya cedera diserang kumpulan perusuh.

Bagaimanapun, mangsa diselamatkan beberapa orang awam yang berada di lokasi kejadian sebelum dibawa ke SJMC untuk rawatan lanjut.

Selain itu, serangan berkenaan turut menyebabkan dua jentera bomba iaitu satu unit van EMRS dan jentera pemadam (FRT) turut dirosakkan kumpulan perusuh dianggarkan seramai 1,000 orang.

Antara kerosakan ialah cermin depan dan belakang pecah, tayar pecah serta tercabut, pintu jentera tercabut selain kemek pada bahagian badan kenderaan dipercayai akibat diserang dengan objek keras.

Jentera bomba yang dirosakkan sudah dibawa ke Balai Polis USJ8 bagi membolehkan siasatan di lakukan oleh polis.

6139 dibaca
Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC). - Foto trendnet.me
Berita Harian X