Isnin, 26 November 2018 | 10:27pm
KEADAAN mayat seorang wanita warga Singapura, Wong Kheng Choo di halaman rumahnya di Lorong Islah. - Foto IHSAN PEMBACA

Mayat reput di halaman rumah

KOTA BHARU: Mayat seorang wanita warga Singapura ditemui reput dan berulat di halaman rumahnya di Lorong Islah, di sini, tengah hari tadi.

Mayat mangsa yang dikenali sebagai Wong Kheng Choo, 76, ditemui pasangan suami isteri yang juga kenalan wanita itu kira-kira jam 12.50 tengah hari.

Menurut Mohd Zainuddin Abdul, 54, dia dan isterinya Rosnani Luman, 52, melihat pagar rumah dalam keadaan berkunci sebaik sahaja tiba di rumah mangsa.

“Sebaik tiba, kami menghidu bau busuk namun menyangkakan bau bangkai kucing memandangkan mangsa suka membela binatang namun terkejut melihat mayat jiran kami terlentang di halaman rumah dan segera menghubungi polis.

“Mangsa suka memberi makan pada kucing jalanan menyebabkan rumahnya sentiasa banyak kucing selain suka belanja jiran makan,” katanya.

Jiran mangsa, Norhaliza Hassim, 36, berkata Sabtu minggu lalu, mangsa ada mengajaknya dan anak-anak untuk makan di sebuah restoran makanan segera.

“Dia ajak kami makan pada Ahad lalu, tetapi yang pelik dia tidak datang hinggalah saya diberitahu terjumpa mayat mangsa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud, ketika dihubungi petang tadi mengesahkan kejadian itu.

Katanya mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat.

Katanya, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Berita Harian X