Ahad, 25 November 2018 | 12:53pm

Ketua balai bomba selamatkan kanak-kanak lemas

LABUAN: Tindakan pantas Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kampung Jawa di sini, memberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR) kepada seorang kanak-kanak lemas, menyelamatkan mangsa berusia tujuh tahun itu daripada meninggal dunia.

Dalam kejadian di kolam renang sebuah hotel di sini, kira-kira jam 5 petang semalam, Penolong Penguasa Bomba Riham Abdollah kebetulan berada di kawasan kolam renang itu kerana membawa keluarga beriadah berikutan cuti hujung minggu.

Pada masa sama, kanak-kanak lelaki, Farrel Owen, 7, disedari lemas oleh orang awam sebelum membantu membawanya keluar dari kolam renang.

Riham, 38, berkata beliau dimaklumkan oleh rakan yang terdapat seorang kanak-kanak lemas dan sudah dibawa keluar dari kolam renang sebelum dia bergegas ke tempat kejadian.

“Saya segera periksa di tiga bahagian anggota badan kanak-kanak itu dan didapati sudah tiada nadi dan dalam keadaan pucat, tetapi saya cuba sedaya upaya memberi bantuan CPR bersama seorang lagi orang awam.

“Syukur dalam tempoh lima minit selepas itu, kanak-kanak berkenaan bernafas semula,” katanya ketika dihubungi NSTP.

Riham yang berkhidmat selama 17 tahun dalam pasukan bomba berkata, selepas diberi bantuan CPR, kanak-kanak itu masih tidak sedarkan diri cuma boleh bernafas seperti biasa.

“Dalam masa sama, saya menghubungi pasukan bomba dan ambulans untuk mendapatkan bantuan bagi rawatan lanjut kepada kanak-kanak itu,” katanya.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa atau penjaga supaya tidak leka sekiranya membawa anak mereka bermain atau mandi di kawasan kolam.

“Walaupun kanak-kanak datang bersama ibu bapa masing-masing, mungkin ada yang tidak menyedari sehingga berlaku kejadian tidak diingini. Ibu bapa atau penjaga kena pantau anak mereka 100 peratus kerana kita bimbang jika lambat untuk diselamatkan, kita akan menanggung penyesalan seumur hidup,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kampung Jawa, Riham Abdollah (berbaju kelabu) sedang menyelamatkan kanak-kanak yang nyaris lemas di sebuah kolam di hotel di Labuan. - Foto ihsan Bomba
Berita Harian X