Jumaat, 23 November 2018 | 11:56pm

Polis cari Nuriza Mohd Rasdi bantu siasatan kes bayi didera

KUALA LUMPUR: Polis Selangor sedang mengesan seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung kecederaan dialami dua bayi lelaki, masing-masing berusia lima dan tujuh bulan dipercayai didera ketika dalam jagaan sebuah taska di Desa Saujana Kajang, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, kejadian disedari sepasang suami isteri ketika mengambil bayi mereka berusia lima bulan dari taska berkenaan kira-kira jam 4.30 petang.

Katanya, sebaik sampai di rumah, bayi berkenaan muntah dan apabila dibawa untuk rawatan di Hospital Putrajaya, doktor menemui kesan lebam pada bahagian dada selain kesan jalur lebih kurang satu sentimeter disyaki kesan kuku jari.

“Pada hari sama, satu lagi pasangan suami isteri juga menemui kesan lebam pada leher bayi mereka berusia tujuh bulan yang turut dijaga di taska sama.

“Mereka yang mengesyaki bayi mereka didera kemudian membawa anak mereka ke Hospital Putrajaya untuk rawatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Fadzil berkata pasangan suami isteri terbabit kemudian meminta pemilik taska memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di situ dan mendapati seorang pengasuh di situ dilihat menghempas dan menggoncang salah seorang bayi.

Berikutan itu, katanya polis mencari seorang wanita dikenali sebagai Nuriza Mohd Rasdi berusia 31 tahun yang beralamat di Pangsapuri Cempaka, Seksyen 16, Bandar Baru Bangi, bagi membantu siasatan.

Bagaimanapun, Fadzil yang dihubungi NSTP enggan mengesahkan adakah wanita itu bekerja di taska berkenaan atau pengasuh yang dilihat menghempas dan menggoncang salah seorang bayi terbabit.

Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung wanita terbabit diminta berhubung mana-mana balai polis berhampiran atau WhatsApp ke Infoline Polis Kontinjen Selangor di talian 012-6009999.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Berita Harian X