Khamis, 22 November 2018 | 7:01pm
TIMBALAN Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman, Datuk Saiful Azly Kamaruddin (tengah) menunjukkan hasil rampasan pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Azhar Ramli

21 ahli sindiket 'Pinjaman Tidak Wujud' diberkas

KUALA LUMPUR: Seramai 16 lelaki dan lima wanita warga tempatan dipercayai ahli sindiket ‘Pinjaman Tidak Wujud’ (PTW) yang menawarkan pinjaman melalui laman sosial, diberkas dalam serbuan ke atas lima premis kediaman di sekitar Kajang, 13 November lalu.

Kesemua mereka berusia antara 17 hingga 27 tahun diberkas dalam serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, berdasarkan maklumat dan risikan yang dijalankan sejak beberapa minggu lalu.

Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman, Datuk Saiful Azly Kamaruddin, berkata sindiket berkenaan yang memulakan kegiatan penipuan mereka sejak September lalu dipercayai terbabit dalam 32 kes penipuan yang menyebabkan mangsa mengalami kerugian sehingga RM434,486,00.

“Selain menahan mangsa dan merampas bahan bukti berupa buku latihan mengandungi butiran diri setiap mangsa; telefon bimbit; komputer riba serta kad kredit, debit dan kad ATM serta papan putih yang mengandungi butiran mengenai mangsa yang sedang dihubungi.

“Hasil siasatan awal mendapati ahli sindiket yang diberkas ini turut memainkan peranan sebagai operator talian atau ‘caller’ yang akan berhubung dan menawarkan pinjaman wang kepada mangsa mereka,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, semua tempat-tempat yang diserbu termasuk unit kondominium mewah di Batu 9, Cheras dijadikan sebagai tempat operasi dan penginapan sebahagian suspek yang ditahan.

Dalam serbuan yang sama juga pihak polis juga turut menemui dadah jenis ketamin, pil eramin five dan estacy.

“Semua dadah ini dianggarkan berjumlah hampir RM300,000 namun siasatan sedang dijalankan sama ada sindiket sama turut terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah,” katanya.

Katanya, antara dadah yang dirampas adalah 627 keping kertas aluminium mengandungi 6,720 pil eramin five; 10 paket plastik lutsinar mengandungi 995 pil berwarna hijau disyaki estacy; 3 paket plastik lutnisar mengandungi 740 pil merah jambu disyaki estacy; 3 paket plastik serbuk kuning disyaki estacy dan 7 paket plastik disyaki dadah jenis ketamin.

“Pada masa ini pihak kami masih menjalankan siasatan sama ada sindiket penipuan PTW ini turut menjalankan aktiviti pengedaran dadah,” katanya.

Saiful Azly memberitahu, pada masa ini siasatan berhubung kes PTW adalah membabitkan seramai 18 orang manakala baki tiga lagi individu termasuk seorang wanita disiasat berhubung Akta Dadah Berbahaya.

Berita Harian X