Khamis, 22 November 2018 | 11:13am
KEADAAN mayat mangsa susulan nahas di Kilometer 324.7 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dekat Kerteh, Terengganu. - Foto Rosli Ilham

Wanita maut terhumban keluar dari kereta

CHUKAI: Seorang wanita maut manakala suaminya cedera selepas kereta yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer 324.7 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), dekat Kerteh, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 6.50 pagi itu, Rohana Zaini, 37, yang berasal dari Teluk Gong Klang, Selangor, maut di tempat kejadian akibat terhumban keluar dari kereta Proton Waja yang dipandu suaminya, Mohd Fakrul Radzi Mohd Salleh, 25

Mohd Fakrul Radzi yang beralamat di Gong Badak, Kuala Nerus, cedera di bahagian kaki serta kepala dan dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.

Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu Mohd Fakrurazi dari arah Kuala Dungun ke Kuantan, terbabas dan melanggar penghadang jalan dan isterinya tercampak keluar melalui cermin belakang.

Keadaan Proton Waja susulan nahas di Kilometer 324.7, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dekat Kerteh, Terengganu. - Foto Rosli Ilham

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Said Ibrahim, ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berkenaan kejadian itu.

Katanya, nahas berlaku di laluan lurus tetapi basah akibat hujan pada awal pagi dan mangsa yang dipercayai duduk di bahagian belakang tempat duduk pemandu tercampak keluar dari kenderaan.

“Sepasukan enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Paka, Dungun, yang menerima panggilan kecemasan pada jam 7.04 pagi, bergegas ke lokasi kejadian bagi mengeluarkan pemandu kereta yang tersepit,” katanya.

Mohd Said berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah seksyen 41 ( 1 ) Akta Pengangkutan Jalan ( APJ ), 1987.

Berita Harian X