Selasa, 20 November 2018 | 3:26pm
T Thuraisamy. - NSTP/Adnan Ibrahim

MBNJ desak kerajaan siasat Waytha Moorthy mengikut SOSMA

- Gambar oleh Adnan Ibrahim

KLUANG: Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ) mendesak kerajaan menyiasat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy mengikut Akta Hasutan atau Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dibuka ke atas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy.

Bendahari Kehormatnya, T Thuraisamy, berkata ini berikutan penularan semula klip video kenyataan pengerusi Hindraf berkenaan di luar negara yang memburukkan Malaysia walaupun Waytha Moorthy mendakwa kenyataan itu dibuat 10 tahun lalu.

“Penjelasannya tidak boleh diterima sama sekali kerana ia bakal menjadi barah yang sukar dirawat kerana dia memfitnah dengan mengatakan penganut Hindu dan masyarakat India di negara ini didiskriminasi, sedangkan perkara itu tidak pernah berlaku.

“Ia juga memberi imej buruk kepada Malaysia dan menimbulkan suasana tegang dalam negara. MBNJ berpendapat kenyataan itu seolah-olah menunjukkan Waytha Moorthy dipengaruhi agenda luar dan bertindak bagaikan pengkhianat,” katanya kepada media, hari ini.

Thuraisamy berkata, tindakan Waytha Moorthy jelas menggambarkan niat sebenarnya apabila mencadangkan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan dia boleh dilucutkan warganegara kerana menunjukkan sikap tidak taat setia kepada negara ini.

“Sebagai pemimpin tertinggi MBNJ yang menjadi badan induk belia di Johor dan mewakili kaum India, saya sendiri menyaksikan banyak manfaat yang diterima kaum India sama ada dari segi ekonomi, pendidikan dan sosial.

“Malah, melalui sistem sedia ada, ramai orang India menduduki jawatan tertinggi dalam pelbagai sektor kerajaan sejak merdeka dan program khusus untuk masyarakat India, terutama dalam bidang keusahawanan ekonomi dan pendidikan seperti Agenda Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia dilancarkan April lalu.

“Malangnya, tindakan Waytha Moorthy menimbulkan suasana tidak selesa rakyat Malaysia dan ia tidak boleh diteladani. Dia mesti secara sukarela meletak jawatan dari kerajaan bagi membolehkan siasatan dijalankan lebih telus,” katanya.

Pada masa sama, MBNJ berharap belia tanpa mengira kaum dapat bersama-sama menjadikan Malaysia lebih makmur, maju dan berdaya saing berlandaskan Perlembagaan Malaysia.

2393 dibaca
Berita Harian X