Isnin, 19 November 2018 | 8:25pm
DATIN Seri Rosmah Mansor - Foto AIZUDDIN SAAD

Rosmah dipanggil lagi

KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor memberi keterangan lebih tiga jam kepada pasukan penyiasat Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) di Menara KPJ, Jalan Tun Razak, di sini, hari ini, berhubung rampasan barang kemas.

Isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu keluar dari bangunan berkenaan kira-kira jam 1.30 tengah hari selepas tamat sesi mengambil keterangan untuk membantu siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sumber berkata, Rosmah tiba di menara berkenaan dan masuk ke pejabat AMLA melalui kawasan tempat letak kereta di tingkat empat kira-kira jam 10 pagi.

Beliau berkata, kali ini Rosmah memberi keterangan kira-kira tiga jam dan meninggal menara itu jam 1.30 tengah hari.

“Ya, Datin Seri Rosmah datang memberi keterangan berhubung barang kemas dirampas di kediaman mereka pada Mei lalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada 26 Oktober lalu Rosmah bersama dua anaknya, Riza Aziz dan Mohd Norashman Najib disoal siasat hampir tiga jam oleh AMLA di Menara KPJ untuk membantu siasatan skandal 1MDB.

Dipercayai, pegawai penyiasat mengambil keterangan Rosmah berhubung pelbagai isu berkaitan 1MDB termasuk barangan yang dirampas di hartanah milik suaminya.

Pada Mei lalu, polis melakukan serbuan di enam premis dikaitkan dengan Najib dan merampas wang tunai, barang kemas serta pelbagai barangan berjenama selain dokumen.

Pada Jun, polis merampas barangan kemas bernilai kira-kira RM440 juta termasuk 1,400 utas rantai leher, 2,200 cincin, 2,100 gelang, 2,800 anting-anting dan 14 tiara, menyita 567 beg tangan yang bernilai lebih RM51.3 juta.

Awal bulan ini, Rosmah didakwa dengan 17 tuduhan pengubahan wang haram dan gagal membayar cukai.

1368 dibaca
Berita Harian X