Isnin, 19 November 2018 | 2:35pm
FAUZI Faizal (tengah) bersama Ahli UMNO memegang laporan polis mendesak tindakan diambil terhadap Moorthy.

Pemuda, Wanita UMNO Tebrau buat laporan polis

JOHOR BAHRU: Pergerakan Pemuda dan Wanita UMNO Bahagian Tebrau di sini, mendesak Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil tindakan tegas terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tebrau, Fauzi Faizal berkata, tindakan perlu diambil terhadap Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF) itu selepas beliau memburuk-burukkan Malaysia kepada negara luar dengan menyebarkan kenyataan palsu dan fitnah.

“UMNO Bahagian Tebrau membuat laporan polis mengenai video viral membabitkan seorang menteri yang juga Pengerusi HINDRAF yang membuat kenyataan memburukkan Malaysia di Belanda.

“Laporan ini dibuat disebabkan kenyataan palsu menteri itu memfitnah Malaysia dan menggambarkan seolah-olah negara ini menghadapi masalah pencabulan hak asasi yang kronik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat laporan polis di Balai Polis Taman Pelangi Indah, Ulu Tiram di sini, tengah hari ini.

Beliau berkata, kenyataan Waytha Moorthy itu mendakwa kerajaan menindas sebahagian kaum India di Malaysia dengan merobohkan kuil-kuil hindu dan menafikan hak asasi kaum itu.

Katanya, sehingga kini, pemimpin berkenaan tidak membuat sebarang penarikan balik kenyataan dan tohmahan jahat itu.

“Sebagai rakyat Malaysia dan warga Tebrau, kami berkecil hati dengan kenyataan Waytha Moorthy yang memburukkan Malaysia.

“Ia bukan isu kaum semata-mata, tetapi isu nasional. Ia juga bukan isu kaum Melayu, India dan Cina kerana beliau memburukkan Malaysia di luar negara,” katanya.

Menurutnya, pihaknya menggesa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terus menekan pemimpin berkenaan dengan membuat laporan polis berhubung video viral memburukkan negara itu.

Sehubungan itu katanya, Pemuda dan Wanita UMNO Bahagian Tebrau mendesak Waytha Moorthy meletak jawatan yang disandang ketika ini.

“Sebab itu kami menegaskan untuk mendesak Perdana Menteri mengambil tindakan tegas kerana ia bukan isu kaum tetapi isu nasional,” katanya.

2332 dibaca
Berita Harian X