Isnin, 19 November 2018 | 2:32pm
ORANG ramai tidak melepaskan peluang membayar saman tertunggak yang diberi diskaun 50 peratus sempena penganjuran Petronas Cub Prix di Dataran Seri Jempol. - NSTP/Abnor Hamizam Abd Manap

Orang ramai manfaat potongan 50 peratus selesai saman tertunggak

JEMPOL: Orang ramai yang berkunjung ke perlumbaan Petronas Cup Prix di Dataran Seri Jempol di sini kelmarin dan semalam, memanfaatkan potongan 50 peratus yang ditawarkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol ke atas saman tertunggak.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd Nur Hishamddin Hashim, berkata sebanyak 3,711 saman membabitkan kutipan RM406,690 berjaya diselesaikan dalam tempoh berkenaan.

Katanya, saman kesalahan memandu melebihi had laju adalah yang paling banyak, diikuti saman berkaitan letak kereta dan mengganggu lalu lintas selain cukai jalan dan lesen memandu tamat tempoh, tiada perlindungan insuran dan tidak memakai topi keledar.

“Kami menyediakan dua kaunter semakan saman, empat kaunter pindaan dan dua kaunter bayaran sepanjang dua hari yang turut mendapat kerjasama Jabatan Siasatan dan Pengkuatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, tiada potongan bagi saman kemalangan, saman tidak boleh dikompaun, saman berstatus waran, saman dalam perbicaraan dan saman sempena Op Selamat tahun semasa.

Katanya, orang ramai masih berpeluang mendapatkan diskaun saman yang layak pada 26 November ini sempena Hari Bertemu Pelanggan IPD Kuala Pilah.

Berita Harian X