Isnin, 19 November 2018 | 2:26pm
MAHKAMAH Majistret Kajang menyambung reman terhadap suami kepada pengasuh bayi yang disyaki mendera bayi berusia 11 bulan sehingga maut disambung buat kali ketiga selama tujuh hari lagi bagi membantu siasatan kes bunuh itu. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Suami, pengasuh suspek kes dera Zara direman kali ketiga

KAJANG: Reman terhadap suami pengasuh bayi yang disyaki mendera mangsa berusia 11 bulan, Nur Muarzara Ulfa Muhammad Zainal atau Zara, sehingga maut disambung buat kali ketiga selama tujuh hari lagi bagi membantu siasatan kes kematian itu.

Pendaftar Mahkamah Majistret Kajang, Sharifah Fazilah Zulkifli, membenarkan tempoh reman itu bermula esok sehingga Isnin depan bagi membolehkan siasatan lanjut terhadap suspek berusia 36 tahun

itu.

Siasatan terhadap suspek yang bekerja sebagai tukang gunting itu dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sebelum ini, suspek direman pada 9 November lalu selama lima hari mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Bagaimanapun, kes itu diklasifikasikan sebagai kes bunuh selepas mangsa meninggal dunia dan suspek kemudian direman selama tujuh hari lagi sehingga 19 November lalu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, perintah reman terhadap isteri suspek berusia 28 tahun, juga pengasuh bayi, yang tamat semalam itu disambung selama tujuh hari lagi sehingga Ahad ini.

Sebelum ini, NSTP melaporkan, Zara meninggal dunia pada 9 November lalu selepas dua hari berada dalam keadaan kritikal di Hospital Serdang, Selangor.

Bayi dilahirkan pada 10 Disember 2017 itu dipercayai didera secara fizikal dan seksual oleh suami kepada pengasuhnya selepas pemeriksaan mendapati ada kesan koyak pada kemaluan dan dubur mangsa.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff, berkata laporan bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan kesan objek tumpul di kepala dengan tempurung kepala bayi pecah, kesan lebam atas kepala mangsa selain terdapat penderaan seksual.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing terhadap suspek didapati positif methaphetamine atau syabu.

Ibu bapa mangsa yang menetap di Bandar Baru Bangi di sini, menghantar bayi itu ke rumah pengasuh yang tinggal di kawasan perumahan sama, sejak September lalu.

Ketika dihantar ke rumah pengasuh pada waktu pagi, mangsa dalam keadaan baik, bagaimanapun, pada sebelah petang, mangsa dikatakan sesak nafas dan dibawa ke Klinik Bandar Baru Bangi sebelum diminta dirujuk ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut.

Jenazah Zara selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Lubok Gong, Kelantan.

Berita Harian X