Ahad, 18 November 2018 | 9:39am
Aksi `Superman' yang dilakukan suspek berjaya ditahan dalam Op Lumba Haram di Lebuhraya DUKE, Kuala Lumpur, awal pagi tadi. - Foto ihsan Polis

2 pelajar buat aksi 'superman' ditahan

KUALA LUMPUR: Dua pelajar sekolah menengah antara empat individu yang ditahan dalam Operasi Lumba Haram (Op Lumba Haram) di beberapa lokasi berasingan di sekitar ibu kota ini, awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata semua mereka yang ditahan didapati menunggang motosikal secara berbahaya di persimpangan lampu isyarat Greenwood dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE).

“Hasil operasi dilakukan bermula jam 12.30 tengah malam hingga 3 pagi tadi, kami mendapati keempat-empat suspek berusia 16 hingga 19 tahun itu menunggang motosikal dengan menunjukkan aksi ‘superman’.

“Pemeriksaan mendapati dua daripada individu yang ditahan adalah pelajar sekolah menengah di Wangsa Maju dan Selayang. Kedua-dua pelajar terbabit juga didapati tidak mempunyai lesen.


Aksi `Superman' yang dilakukan suspek berjaya ditahan dalam Op Lumba Haram di Lebuhraya DUKE, Kuala Lumpur, awal pagi tadi. - Foto ihsan Polis

“Dalam operasi itu juga, kami turut mengeluarkan sembilan saman atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen dan cukai jalan tamat tempoh,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Zulkefly berkata, pihaknya turut menjalankan Operasi Motosikal (Op Motosikal) di Jalan Pahang, di sini, bermula jam 10.30 malam hingga 12.30 tengah malam tadi.

“Sebanyak 85 saman membabitkan pelbagai kesalahan dikeluarkan dalam operasi itu.

“Antara kesalahan dilakukan adalah tiada lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh, cukai jalan tamat tempoh, tiada nombor pendaftaran, tiada cermin sisi dan tidak menampal pelekat P,” katanya.

Berita Harian X