Ahad, 18 November 2018 | 8:52am

'Superman' ditahan

KUALA LUMPUR: Empat lelaki termasuk seorang remaja yang menunggang motosikal secara berbahaya ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), di sini, awal pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata operasi itu dilakukan 10 pegawai dan anggota daripada Unit Risikan dan Operasi JSPT Kuala Lumpur diketuai Asisten Superintendan Ahmad Fuad Mahmod bermula jam 1.30 hingga 3.30 pagi semalam.

“Dalam operasi itu, kami menahan empat lelaki berusia 18 hingga 24 tahun yang didapati menunggang motosikal secara bahaya. Mereka turut membuat aksi ‘superman’ dan ‘zig zag’ di lebuhraya berkenaan.

“Mereka yang ditahan termasuk seorang remaja yang juga pelajar kolej swasta. Tiga suspek lain bekerja sebagai penghantar surat dan penjaga kafe siber,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Zulkefly berkata, semua suspek dibawa ke Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara berbahaya dengan menunjukkan aksi.

“Lebuhraya DUKE sering menjadi lokasi pilihan bagi ‘mat rempit’ untuk menunjukkan aksi mereka. Malah, mereka tidak serik melakukan kegiatan itu meskipun kerap kali operasi dilakukan di lebuh raya berkenaan.

“Pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mereka yang terbabit dengan kegiatan itu dan tetap konsisten menjalankan operasi di lokasi tumpuan termasuk Lebuhraya DUKE dalam usaha mengekang aktiviti samseng jalanan,” katanya.

-

Berita Harian X