Jumaat, 16 November 2018 | 4:01pm
MOHTAR (dua dari kiri) turun padang meninjau keadaan mangsa banjir di Dewan Desa Coalfields, Sungai Buloh, hari ini. - Ihsan NADMA

2 pusat pemindahan banjir dibuka di Sungai Buloh

KUALA LUMPUR: Seramai 124 mangsa banjir daripada lima kawasan ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara yang dibuka sejak malam tadi di daerah Sungai Buloh.

Pusat pemindahan sementara itu adalah di Dewan Desa Coalfields yang dibuka sejak jam 12 tengah malam dan Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Paya Jaras yang dibuka sejak jam 2 pagi.

Menurut Jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Kuala Selangor, setakat jam 11.30 pagi tadi, pusat pemindahan sementara di Dewan Desa Coalfields menempatkan seramai 85 orang mangsa daripada 30 keluarga.

“Sebanyak dua kampung terbabit iaitu Kampung Seri Sentosa iaitu sebanyak 53 mangsa daripada 20 keluarga dan Kampung Seri Aman sebanyak 32 mangsa daripada 10 keluarga.

“Mangsa terbaru mendaftar masuk pada jam 8.30 pagi tadi, air pula semakin surut dengan cuaca dalam keadaan baik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pusat pemindahan sementara di Dewan MBSA Paya Jaras pula menempatkan sebanyak 39 mangsa daripada tiga kampung yang dinaiki air.

Jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Petaling, berkata tiga kampung yang terbabit adalah Kampung Merbau Indah, Kampung Jaras Hilir dan Taman Adjwa.

“Setakat jam 11 pagi, sebanyak sembilan keluarga masih berada di pusat pemindahan sementara selepas kawasan rumah mereka dinaiki air akibat hujan lebat petang semalam.

“Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) ditempatkan di pusat pemindahan bagi membantu keperluan mangsa banjir,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman turun padang meninjau keadaan mangsa banjir di Dewan Desa Coalfields pada jam 10.30 pagi tadi.

Lawatan bertujuan meninjau keperluan mangsa banjir di kawasan terbabit selain melihat pengurusan pusat pemindahan sementara.

348 dibaca
Berita Harian X