Jumaat, 16 November 2018 | 3:20pm
ANGGOTA polis mengejar suspek yang dipercayai memiliki motosikal curi di Bandar Parkland, Rabu lalu. - Ihsan pembaca

Polis redah kolam tadahan banjir kejar suspek dipuji

KLANG: Keberanian anggota polis meredah kolam tadahan banjir untuk mengejar suspek selepas dipercayai menunggang motosikal curi, di Bandar Parkland, di sini, Rabu lalu, mendapat pujian orang ramai.

Dalam kejadian pada jam 6 petang itu, tindakan dua anggota polis berkenaan berjaya menahan seorang lelaki warga Indonesia berusia 26 tahun.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, berkata ketika kejadian, Unit Rondaan Bermotosikal (URB) itu sedang membuat rondaan di Persiaran Delima 2, Bandar Parkland.

“Ketika membuat rondaan, anggota URB yang bertugas ternampak seorang lelaki menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan serta mengarahkan suspek memberhentikan kenderaannya.

“Suspek kemudian cuba meloloskan diri dengan memecut sejauh 1.5 kilometer sebelum menuju ke sebuah blok di Pangsapuri Arista berdekatan situ.

“Lelaki berkenaan kemudian meninggalkan motosikal ditungganginya sebelum terjun ke kolam tadahan banjir berdekatan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, anggota URB kemudian meminta bantuan daripada Pusat Kawalan Daerah (DCC) di Ibu Pejabat Polis (IPD) Klang Selatan sebelum anggota unit peronda polis (MPV) memberi bantuan.

Katanya, anggota URB dan seorang anggota MPV masuk ke dalam kolam dengan ketinggian air separas pinggang. Suspek warga Indonesia itu kemudian ditahan dan dibawa naik tanpa sebarang kecederaan.

“Selepas membuat semakan terhadap motosikal terbabit, kami mendapati kenderaan itu dilaporkan hilang pada 10 November lalu. Suspek kemudian dibawa balik ke IPD Klang Selatan untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan,” katanya.

Terdahulu, dua klip video berdurasi seminit dan 2.07 minit viral di Facebook yang memaparkan keberanian dua anggota polis berkenaan masuk ke dalam sebuah kolam untuk mengejar seorang lelaki yang dipercayai penjenayah.

Berita Harian X